Soalan
: Saya tidak faham apa itu solat Jama. Bolehkah anda terangkan apa itu solat
Jama ? Adakah Jama hanya boleh dilakukan apabila kita bermusafir ?
Jawapan
:
Definisi
Solat Jama
1.
Dua solat yang disatukan dalam satu waktu.
2. Solat Jama dibahagi kepada dua iaitu :
2. Solat Jama dibahagi kepada dua iaitu :
- Jama Taqdim - Menghimpunkan dua solat
di awal waktu. Contohnya menghimpunkan solat Zohor
dan solat Asar dalam waktu solat Zohor. Ia boleh juga
dilakukan untuk solat Maghrib dan solat Isyak dihimpunkan di solat Maghrib.
- Jama Takhir - Menghimpunkan dua solat
di akhir waktu. Contohnya menghimpunkan solat Zohor dan
solat Asar dalam waktu solat Asar. Ia boleh juga
dilakukan untuk solat Maghrib dan solat Isyak dihimpunkan di solat Isyak.
- Samada
Jama Taqdim ataupun Jama Takhir sekiranya bukan dalam keadaan musafir
maka dibuat secara penuh tanpa pengurangan rakaat. Contohnya :
Zohor (4 rakaat) + Asar (4 rakaat) dan Maghrib (3 rakaat) + Isyak (4 rakaat)
- Manakala
untuk orang yang musafir, solat mereka boleh dipendekkan untuk
Zohor, Asar dan Isyak. Subuh dan Maghrib tidak dipendekkan. Contohnya
:Zohor (2 rakaat) + Asar (2 rakaat) dan Maghrib (3 rakaat ) + Isyak (2
rakaat)
Sebab-sebab
diharuskan Solat Jama
1.
Jama kerana hujan
- Berdasarkan Haith oleh Ibn
Abbas yang bermaksud : “Rasulullah S.A.W telah melakukan jama solat antara
zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di (Hadis riwayat al-Jamaah
(semua ulama hadis yang terkemuka) kecuali al-Bukhari dan Ibnu Majah).
Dalam riwayat Muslim dan al-Tarmizi disebutkan tambahan : “Rasulullah S.A.W telah melakukan jama solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan. Ibnu Abbas ditanya: Apa yang dikehendaki dengan yang demikian itu (mengapa Rasulullah melakukannya)? Dia berkata: baginda mahu memberi kelapangan (mudah) kepada umatnya”.
- Hanya dilakukan oleh jemaah
yang solat di masjid dan bukannya untuk yang solat di rumah.
- Jama yang dibenarkan hanya Jama
Taqdim iaitu Zohor dan Asar di waktu Zohor, ataupun Maghrib dengan Isyak
pada waktu Maghrib.
- Hujan yang dibenarkan ialah
hujan yang membasahkan baju dan bukannya renyai-renyai.
- Ada di kalangan ulama
Syafiiyah yang meletakkan syarat tambahan, iaitu jama kerana hujan ini
hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari masjid sahaja,
dan barangsiapa yang tinggal dekat dengan masjid mereka tidak dibenarkan
melakukan jama. (Pendapat ini disanggah oleh Imam Nawawi dari mazhab
Syafii sendiri kerana menurutnya pendapat tersebut tiada asas yang kukuh
dan tiada sandaran dalil yang kuat)
- Rujukan : (Lihat : al-Syarbini
al-Khatib (t.t), Mughni al-Muhtaj, Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi,
jil : 1, hal : 275; al- Nawawi (1994M), Raudat al-Talibin, Beirut : Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil : 1, hal. 503, al-Hisni al-Syafii (1994M),
Kifayat al-Akhyar, tahqiq: A Hamid Ba Haji, Beirut : Dar al-Khayr, hal. 140)
2. Jama kerana sakit
- Tidak ditemui hadith khusus atau athar (amalan
atau perkataan) sahabat menjelaskan demikian. Di kalangan tabi’in hanya
Ata’ b.Abi Rabah berpendapat orang sakit diberi kemudahan dan tidak
ditemui tabi’in yang mengkritik pandangan ini.
- Imam Malik dan Imam Ahmad berpendapat harus
menghimpunkan solat kerana sakit.
- Alasan dibenarkan ialah kerana Rasulullah s.a.w
menghimpunkan solat semasa musafir dan hujan adalah rukhsah (keringanan)
disebabkan semasa musafir dan hujan banyak kesusahan dan kesukaran. Oleh
itu orang sakit lebih patut menghimpunkan solat, kerana kesusahan dan
kesakitannya lebih ketara berbanding dengan musafir dan hujan.
- Pendapatnya
ini telah disokong oleh sesetengah ulama mazhab Syafii seperti al-Muzani,
Imam al-Nawawi, Qadhi Hussin, al-Mutawalli, al-Rawayani, al-Khattabi dan
lain – lain. al-Nawawi pula telah mengatakan : “Pendapat ini amat kuat!”
(Lihat : al-Nawawi, ibid; al-Hisni, ibid; al-Sya’rani, opcit, jil. 1, hal.
236)
- Pendapat
ini amatlah sesuai untuk wanita yang sedang berpantang dan menyusu (pendapat
Imam Ahmad) dan juga pesakit yang memerlukan banyak rehat.
3. Jama kerana hajat
- Dalil adalah daripada Hadith : Ibnu Abbas r.a. berkata: Bahawasanya Nabi s.a.w. pernah menjamakan antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana musafir dan tidak kerana hujan. Ibnu Abbas ditanya: Apa yang dikehendaki dengan yang demikian itu (mengapa Rasulullah melakukannya)? Dia berkata: baginda mahu memberi kelapangan (mudah) kepada umatnya. (Hadis Riwayat Muslim).
- Hadis tersebut dikuatkan dengan hadis riwayat Ibn Syaqiq :
Abdullah bin Syaqiq berkata:
Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! . Kemudian berkata : Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakan sembahyang antara zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak.
- Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak
memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan
hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas. (Hadis Riwayat
Muslim)
- Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakan sembahyang
dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga
bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah men”jama”kan solatnya
ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya itu. Dia mengetahui
jika pidatonya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya. Menurut
perkiraannya meneruskan pidatonya dianggap suatu hajat yang membolehkan jama.
(Lihat : Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Koleksi Hadis Hukum, Bandung :
Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, hal. 350)
- Segelintir daripada ulama di dalam mazhab al-Syafii seperti Abu
Ishaq al-Marozi, al-Qaffal dan al-Khattabi (lihat : al-Hisni, opcit, hal.
141), ulama mutakhirin dari mazhab Ahmad, Asyhab dari mazhab Maliki, Ibn.
Munzir pengarang buku al-Ijma, golongan ahli Zahir , mazhab ahli Hadis dan
juga Ibn Sirin berpendapat harus melakukan “jama” kerana hajat yang benar
– benar mendesak (Lihat : Ibn Rusyd, opcit., jil. 1, hal. 398;
al-Sya’rani, opcit, jil. 1, hal. 236).
- Kemudahan ini amatlah sesuai untuk situasi-situasi seperti di bawah
:
- Seorang Doktor yang tengah menjalankan pembedahan yang mengambil
masa yang amat panjang.
- Seorang pelajar yang terpaksa menjalani peperiksaan di luar Negara.
- Seseorang yang terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas.
- Seorang saintis yang tengah menjalani ujikaji yang dia tidak boleh
tinggalkan
- Seseorang yang berada di dalam penjara tertentu yang menyebabkan
dia tidak dapat mengetahui waktu.
- Muallaf yang tinggal dengan kedua ibubapa yang masih tidak ketahui
tentang pengislamannya.
- Situasi-situasi lain yang akan menyebabkan seseorang amat susah
untuk menunaikan solat.
- Akan tetapi, kemudahan untuk menjamakan solat tidak dibenarkan
secara mutlak. Para ulama yang membenarkan kemudahan tersebut telah
meletakkan beberapa syarat seperti berikut :
- Ia tidak menjadi kebiasaan dan hanya dibuat dalam keadaan yang
benar-benar terdesak.
- Hajat tersebut hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh
dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa
kepada hilangnya maslahat yang lebih besar.
- Ia tidak menjadi satu cara untuk mempermainkan agama dan mengambil
mudah solat.
4. Jama kerana musafir
- Ini merupakan amalan Nabi s.a.w semasa musafir sama ada berjalan atau
singgah.
- Dalil adalah daripada hadis Muaz b.Jabal meriwayatkan : Rasulullah
s.a.w semasa peperangan Tabuk apabila matahari gelincir sebelum baginda
berangkat baginda menghimpunkan solat Zohor dan Asar. Sekiranya baginda
berangkat sebelum gelincir matahari, baginda menta’khirkan Zohor
sehinggalah baginda singgah untuk solat Asar. (Riwayat Abu Daud)
- Kemudahan ini telah banyak diketahui ramai maka jama kerana musafir
tidak akan dibincang banyak dalam artikel kali ini dan akan dibincang
lebih mendalam dalam artikel berkenaan musafir.
Kesimpulannya Islam
merupakan agama yang indah dan amat mudah untuk dipraktiskan sekiranya kita
mempunyai ilmu. Terdapat banyak kemudahan yang Allah berikan tidak dimanfaat sepenuhnya
oleh kita kerana kekurangan ilmu. Maka adalah perlu untuk kita mengambil
inisiatif untuk sentiasa menuntut ilmu demi memahami Islam dengan lebih
terbuka. Wallahua’lam.