Friday, July 13, 2012

Saf, Saf, Saf yang susah nak dirapatkan


Ingatlah wahai umat Islam sekalian di mana

Nabi Muhammad s.a.w bersabda bahawa : Amalan yang mula-mula dihisab (diperhitungkan) daripada seorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Maka berkata Allah s.w.t kepada para malaikat-Nya, dan Ia Maha Mengetahui:  ‘Telitilah pada solat hamba-Ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang. Sekiranya lengkap sempurna tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah Allah s.w.t : Telitilah sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu menyempurnakan solat fardhunya.’” (Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud no 864, 1/229; Musnad Ahmad. No. 9490, 2/245)

Amat jelas daripada hadis di atas bahawa solat adalah perkara perkara yang akan dihisab pada hari kiamat nanti, akan tetapi pada hari ini ramai yang mengambil remeh pasal solat. Berapa ramaikah umat Islam yang masih ingat pesanan Nabi Muhammad s.a.w di mana Baginda bersabda :

Kamu dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat. (Riwayat al-Bukhari).

Maka disini sememangnya kita mengikut cara Nabi solat dengan mempelajari kaedah dan sifat cara solat dan mengamalkannya.
Salah satu perkara yang telah banyak ditinggalkan oleh umat Islam walaupun golongan yang selalu pergi solat di masjid dalam solat mereka adalah : SAF.

Saf ? Pentingkah Saf ?


Nabi Muhammad s.a.w bersabda : Luruskanlah saf kamu (ketika solat), sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku. (Sahih al-Bukhari, no 687, 1/253)

Dan

"Luruskan saf-saf kalian kerana lurusnya saf merupakan sbahagian dari kesempurnaan solat!" [HR Bukhari-Muslim]

Dan

Nabi Muhammad s.a.w bersabda : Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau kamu akan bercanggah (melakukan kesalahan) dengan arahan Allah di hadapan-Nya. (Sahih al-Bukhari, no 685, 1/253)

Amat jelaslah saf merupakan salah satu syarat sempurnanya solat. Maka seharusnya kita cuba sedaya upaya untuk melakukannya sebab untuk merapatkan saf bukannya susah : rapatkan bahu dengan bahu dan kaki dengan kaki. Malahan ia lagi senang daripada memakai jubah. Sekiranya anda selalu memakai jubah untuk solat, susah sangatkah untuk anda rapatkan saf ? sedangkan yang menjadi tuntutan di sini adalah rapatkan saf.



Malahan dalam Fath al-Bari ada dinyatakan bahawa hadis untuk merapatkan saf amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Tanpa disiplin tersebut, manusia akan berada dalam rasa keegoan masing-masing hingga berasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka. Di samping itu, ia juga menunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah s.w.t akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini. (Fath al-Bari, Ibn Hajar, 2/207)

Bukankah apa yang dinyatakan telah berlaku sekarang :
1.      1。  Manusia berada dalam keegoan masing-masing ?
2.       2。 Berasakan geli untuk menyentuh kaki jemaah lain ?
3.       3。 berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ?

Kesimpulannya, rapatkan saf bukannya sesuatu yang susah dan untuk mengamalkannya cukuplah senang sekali, sama-samalah kita rapatkan saf dalam solat kita yang akan datang agar solat kita sempurna dan supaya kita selamat apabila kita dihisab di akhirat kelak tentang solat. Peringatan untuk diri dan rakan-rakan sekalian. Wallahualam. 

1 comments: